Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu - Penganalisis -

Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu – Penganalisis

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini bakal menguji apakah populariti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menyekat pengaruh Umno di negeri tersebut, kata penganalisis.

Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak awal sehinggalah dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

Pada ketika itu, Bersatu pimpinan Muhyiddin merupakan anggota PH yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain berasal dari Johor, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan bekas menteri besar negeri itu dari 1986 hingga 1995.

Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Muhyiddin masih berpengaruh di kawasan seperti Muar, Batu Pahat dan Segamat.

“Meskipun tanpa Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin masih mampu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu di Johor,” katanya, memetik laporan MalaysiaNow.

Mazlan merujuk kepada perpecahan Bersatu yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Pejuang yang turut bertanding pada PRN Johor kali ini.

Justeru, katanya, logik PRN Melaka tidak terpakai 100% untuk PRN Johor.

Menurut Mazlan, polisi Muhyiddin semasa memerangi Covid-19 ketika menjadi perdana menteri pada 2020 menjadikannya lebih popular berbanding pemimpin-pemimpin lain.

“Pengundi melihat Muhyiddin tidak mempunyai isu. Semasa menjadi perdana menteri, banyak perkara dia selesaikan, terutama dari segi kebajikan.

“Muhyiddin juga membawa konsep perpaduan ummah, memandangkan beliau berada bersama PAS dalam PN. Umno pula dilihat seperti tidak mahu bersama dengan perpaduan ummah,” katanya.

Mazlan menjangkakan Muhyiddin mampu menarik undi kepada PN di kawasan-kawasan Felda di Johor.

Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang mempunyai kawasan Felda termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Pasir Raja, Pantai, Endau, Tenggaroh, Kahang, Paloh, Sedili, Tanjung Surat, Penawar, Johor Lama, Puteri Wangsa, Layang Layang, Bukit Kepong, Pemanis, Kemelah, Buluh Kasap, Tenang dan Gambir.

Anwar gagal pikat Melayu

Menurut Mazlan, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi pemimpin yang masih gagal memikat hati pengundi Melayu.

Di kawasan timur Johor seperti Mersing, Umno masih mengekalkan pengaruhnya yang kuat manakala kawasan bandar cenderung untuk memilih pembangkang.

PRN Johor kali ini dijangka lebih “meriah” daripada PRN Melaka dengan kemasukan parti Muda yang julung kali bertanding pada pilihan raya, selain Warisan yang meluaskan sayap ke Semenanjung.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, memberi amaran agar PN tidak terlalu bergantung kepada Muhyiddin semata-mata.

Ini kerana ahli Parlimen Pagoh itu lebih dikaitkan dengan jenama PN berbanding pentadbiran negeri Johor.

“Saya fikir strategi PN ini akan makan diri balik di Johor. Ini kerana segmen yang terdahulu menyokong PN menerusi BN sudah berpatah balik untuk menyokong BN selepas perpecahan Umno dan Bersatu semakin jelas.

“Ini kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, tidak seperti Umno atau PAS yang sudahpun mempunyai sokongan akar umbi daripada kelompok tertentu,” katanya kepada.

Pada PRN kali ini, Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir kerana ingin memberi jalan kepada tokoh-tokoh lain di Johor.

Menurut Mazlan, pengundi PRN Johor kali ini akan melihat faktor gabungan politik dan calon.

“Parti-parti kecil memang tiada peluang, kerana PRN akan tertumpu kepada tiga gabungan besar iaitu BN, PN dan PH.

“Daripada segi calon, rakyat Johor cenderung memilih calon muda yang boleh buat kerja. Mereka tidak mahu calon yang nampak macam sakit atau tidak cergas,” katanya.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN Johor bulan lepas. Alasan yang diberikan kerajaan negeri ialah pengurangan majoriti satu kerusi menyukar pentadbiran.

Ia selepas kematian bekas menteri besar daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian yang juga Adun Kempas.