SEBUAH bas persiaran yang membawa seramai 22 orang jemaah yang baru pulang menunaikan umrah hampir terbalik selepas terbabas ke dalam longkang dalam satu kejadian di Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan pada pagi Ahad.
Memetik laporan Kosmo! kesemua 11 orang jemaah lelaki dan 11 lagi jemaah wanita termasuk pemandu bas berusia 37 tahun dan kelindan berusia 21 tahun bagaimanapun didapati selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwan Arrafee Parsimin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, bas terbabit sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Kuala Krai.
Katanya, kejadian dipercayai disebabkan oleh keadaan jalan yang licin ekoran cuaca hujan, sebelum bas berkenaan terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.
“Kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 6.47 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, kita dapati kesemua penumpang sudah keluar daripada bas. Seramai 22 penumpang, pemandu dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.