Agensi agama gerak misi bantuan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan

AGENSI di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan segera menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir di negeri Terengganu dan Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, operasi itu melibatkan beberapa agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Kita akan menghantar pasukan ke sana dan kita juga sudah mempunyai wakil di lokasi-lokasi berkenaan.
“Bantuan yang disampaikan adalah pelbagai keperluan asas antaranya barangan makanan dan tilam,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang 2022 kepada 50 pelajar di Taiping pada Ahad.

Jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri terus mencatatkan peningkatan dengan 4,335 orang daripada 1,287 keluarga dilaporkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu manakala seramai 3,222 orang daripada 1,034 keluarga di PPS Kelantan. – Bernama