BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro, Datuk Rohana Rozhan mengesahkan kehadirannya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut susulan pendedahan terbaru berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi kenyataan dikeluarkan melalui firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners, Rohana menjelaskan, beliau sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan dijalankan.
“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul di media tentang saya. Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” katanya.
Sementara itu, beberapa media melaporkan aset dan akaun bank milik Rohana telah dibekukan SPRM.
Memetik sumber SPRM, perintah pembekuan berkenaan dibuat selepas agensi berkenaan memulakan siasatan ke atas dakwaan pemilikan rumah oleh Tim Leissner yang dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tindakan pembekuan itu membabitkan larangan ke atas Rohana daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).
“Pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA 2001),” lapor portal Astro Awani. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.