JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mengatasi Kuala Lumpur City (KL) City FC untuk menjulang Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut selepas mencatat kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, malam ini.
Jaringan pemain tengah Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan penyerang import baharu Fernando Forestieri masing-masing meletakkan JDT mendahului pada separuh masa pertama sebelum pemain gantian Mohd Afiq Fazail melengkapkan malam gemilang pasukan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.
Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh dalam tempoh lapan musim sejak mula mendominasi saingan itu pada 2018.
JDT juga memahat sejarah tersendiri malam ini apabila muncul satu-satunya pasukan merekodkan pencapaian memenangi Piala Sumbangsih lima kali berturut-turut selepas mencipta hatrik pada edisi 2020 diikuti kejayaan musim 2021.
Bermain di hadapan penyokong sendiri di gelanggang keramat mereka, skuad bimbingan Benjamin Mora yang tewas kepada KL City FC di pentas final Piala Malaysia 2021 Disember lepas, memulakan aksi dengan garang apabila berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya pada 10 minit pertama. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.