Kerusi ‘panas’ Larkin: Pertembungan Muda-PKR tidak dapat dielakkan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERTEMBUNGAN kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Nasional (PKR) tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkembangan itu akan menyaksikan
Pakatan Harapan (PH) mempunyai ‘dua calon’ sekali gus menjadikan kerusi DUN Larkin antara kerusi panas pada PRN tersebut.

Pertembungan Muda dan PKR itu akan menyaksikan persaingan enam penjuru di Larkin dan merupakan satu-satunya kawasan DUN ditandingi dua rakan strategik daripada gabungan politik yang sama.

Muda mempertaruhkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar, 28, manakala PKR menampilkan Dr. Zamil Najwah Arbain, 44.

Empat lagi yang bertanding adalah melibatkan calon UMNO daripada Barisan Nasional (BN), calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN), calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

Di kerusi DUN berkenaan BN-UMNO menampilkan Mohd. Hairi Md. Shah, 38; PN-Bersatu meletakkan Zulkifli Bujang, 44; Pejuang pula diwakili Mohamad Riadz Mohamad, 49, dan turut disertai calon Bebas, Norramadan Buan, 46.

Pegawai Pengurus DUN Larkin, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan akan berlaku enam persaingan di DUN berkenaan selepas berpuas hati dengan dokumen semua calon-calon akan bertanding.

Proses penamaan calon bagi kerusi DUN Larkin dilakukan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru.

Sebelum ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu mengumumkan Dr. Zamil Najwah sebagai calon mereka di DUN Larkin dan
kelmarin, Muda pula mengumumkan calonnya.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR. – SB