Calon PN di DUN Endau kesal mesej tular dakwa tarik diri bertanding

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib kesal dengan mesej yang tular mendakwanya menari diri bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Alwiyah yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terkejut dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya dimaklumkan oleh penyokong tentang kononnya saya tarik diri, menerusi mesej tular di WhatsApp.

“Saya yakin ini provokasi awal dan lebih banyak lagi akan mendatang,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penerimaan calon.

Alwiyah dalam masa sama menyatakan, perkara itu tidak akan menjejaskan aktiviti berkempen berikutan rakyat yang mampu untuk menilai.

Bercakap mengenai usahanya untuk mempertahankan kerusi tersebut, Alwiyah mendakwa mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

Perkara itu juga menjadi bukti untuk menjawab segala spekulaai yang terkait terhadapnya.

“Dalam tempoh tiga tahun saya berkhidmat kepada penduduk dengan merencanakan segala program yang memanfaatkan mereka di bawah kerajaan PN dengan mengetengahkan dua isu iaitu soal integriti dan juga kebajikan masyarakat di Endau yang menjadi keutamaan saya.

“Mereka (rakyat) tidak bergantung pada lambang parti, generasi muda juga dah bijak menilai.

“Anak muda pun dah celik teknologi jadi saya yakin akan terima sokongan hebat untuk saya pertahankan kerusi Endau,” katanya lagi.

Alwiyah bakal menerima tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Youzaimi Md. Yusof yang menyimpan hasrat untuk merampas kembali kerusi tersebut.

Selain itu, tiga lagi calon yang bakal didepani merupakan calon Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Mohamad Fakrulradzi Mahmud, Parti Pejuang Tanah Air menampilkan Noorhisyam Ibrahim dan calon Bebas, Ismail Don. – SB