[VIDEO] Gabungan pengalaman Muhyiddin, bekas MB jadi taruhan terbaik untuk Johor

GABUNGAN pengalaman bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Besar Johor ke-17, Datuk Dr Shahruddin Jamal bakal menjadi tonik terbaik untuk terus memajukan Johor khasnya di Bukit Kepong.

Dr Shahruddin yang juga penyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong kini menjadi pertaruhan terbaik Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi itu dan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh disifatkan sebagai sifu oleh Dr Shahruddin dan dipilih sebagai antara dua calon untuk memenangi semua dua kerusi DUN di Parlimen Pagoh ialah Bukit Kepong dan Bukit Pasir.

Dr Shahruddin, 47, yang memenangi kerusi Bukit Kepong pada 2018 dan dilantik sebagai menteri besar Johor ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan saingan empat penjuru merebut kerusi berkenaan.

“Pengalaman saya sebagai Menteri Besar Johor dan pengalaman Tan Sri (sebagai Perdana Menteri), saya cukup yakin jika kami diberi amanah untuk menerajui negeri ini, kami akan berjaya untuk membentuk kerajaan,” katanya yang menang dengan majoriti 1,273 undi pada 2018.

Penyandang DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Shahruddin Jamal bakal mempertahankan kerusi pada PRN Johor (Gambar: SB)

Beliau ditemui media selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Pagoh, Johor, hari ini.

Dr Shahruddin bakal berdepan dengan bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut.

Mengulas mengenai pertembungan empat penjuru itu, katanya berkata, beliau cukup yakin mampu mengekalkan kemenangan berdasarkan beberapa faktor serta rekod perkhidmatan.

“Saya sudah berkhidmat di sini selama empat tahun. Semua masyarakat di sini tanpa mengira parti, latar belakang kaum, semuanya kami bagi (bantu) sama rata.

“Keduanya, saya telah berjaya membawa pembangunan di Bukit Kepong dan bertuah kerana barisan kepimpinan ataas adalah Tan Sri (Muhyiddin) yang banyak mendidik, membantu saya. Banyak tunjuk ajar diberikan menyebabkan mudah untuk saya bergerak,” katanya.

Kini, beliau mengharapkan semua penduduk di Bukit Kepong, penduduk Pagoh dan seluruh penduduk Johor untuk terus memberi sokongan kepada PN bagi memenangi PRN Johor kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses undian awal ditetapkan pada 8 Mac, manakala hari mengundi pada 12 Mac ini.

“Saya rasa semua sudah sedia maklum, calon bertanding adalah gabungan muka lama dan baharu. Kita (PN) ada integriti, amanah, jujur dan telah terbukti berjaya memimpin negara.

“Insha Allah saya harap semua dapat membantu dan menyokong PN,” katanya sambil tersenyum apabila ditanya apakah nasihat Muhyiddin sebelum melangkah ke pusat penamaan calon pagi tadi.

“Tan Sri ini adalah ‘otai’. Pertamanya (nasihat) ialah kita tak boleh lemah semangat. Apa saja yang kita buat, kena ingat kita lakukan demi rakyat.

“Sebagai orang Islam, kita kena tawakkal, berdoa, zikir dan alhamdulillah hari ini kita dapat kedudukan sebagai calon nombor satu,” katanya. – SB