[VIDEO] Simpang Jeram: Jangan ulangi kesilapan pilih pemimpin luar – Ustaz Zarul 

PENGUNDI bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Simpang Jeram, Johor perlu membuka mata dan belajar daripada kesilapan apabila memilih pemimpin bukan anak tempatan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, kerusi N13 itu disandang oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pada 18 Februari lalu, parti itu mengesahkan akan mengekalkan calon sama untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Berikutan itu, calon Perikatan Nasional (PN), Zarul Salleh, 43, menegaskan PRN Johor kali ini adalah peluang terbaik pengundi untuk memilih anak jati Simpang Jeram yang sebenarnya lebih dekat di hati rakyat.

“Selepas 22 bulan, kita sudah nampak apa yang mereka buat, tak menepati apa yang dijanjikan di dalam manifesto. Jadi, ramai rakyat Simpang Jeram sudah tawar hati, lebih-lebih lagi penyandang jawatan adalah daripada Amanah.

“Saya memang orang sini, asal Simpang Jeram. Kita nak bawa Simpang Jeram ke satu tahap lebih baik dalam semua aspek.

“Memilih wakil rakyat seumpama memilih ketua darjah, mesti cari yang baik, yang pandai, yang berketrampilan dan sentiasa membantu,” katanya yang memiliki ijazah sarjana muda Usulluddin.

Guru sekolah tahfiz yang lebih popular dengan gelaran Ustaz Zarul ini berkata, rakyat kawasan itu memerlukan lebih banyak sokongan terutama dalam aspek kebajikan terutama sokongan untuk membangunkan ekonomi.

“Kita akan fokus kepada kebajikan rakyat kerana kawasan ini adalah pinggir bandar, bukannya kawasan kampung. Ramai rakan kita yang perlukan bantu, jadi kita akan cuba yang terbaik untuk membantu,” katanya.

Setakat ini, kerusi Simpang Jeram itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Zarul dan Salahuddin, serta calon Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Md Don.

Ketika PRU-14 pada 2018, Salahuddin yang mewakili Pakatan Harapan menang dengan mendapat 14,640 undian ketika menentang calon BN, Mohd Radzi Amin dengan majoriti undi 7,687. – SB