SEBUAH lori yang mempunyai masalah brek telah menjadi penyebab empat buah kereta dilanggar dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jenjarom di Kilometer 23 Jalan Klang – Banting – Port Dickson semalam.
Kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam kemudiannya tular menerusi video berdurasi satu minit 38 saat di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor Saleh berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan ke Klang dari Banting.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai telah mengalami masalah brek tidak berfungsi.
“Lori itu kemudiannya mengelak ke kanan dan terlanggar empat buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat persimpangan Jenjarom.
“Jentera lori itu berjaya dihentikan selepas persimpangan lampu isyarat menghala ke Kampung Jenjarom,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang kecederaan berlaku dan kelima-lima pemandu kenderaan telah membuat laporan polis.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nur Hayati Mohd. Zubel ditalian 03-31872222 atau 013-6444350 serta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.