Rusia lancar perang skala penuh ke atas Ukraine

RUSIA dilaporkan telah melancarkan perang beskala penuh ke atas Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama dalam serangan bermula lewat pagi Khamis.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar Negeri Ukraine, Dmytro Kuleba dalam satu ciapan di akaun rasmi Twitternya pada Khamis.

Media tempatan melaporkan serangan roket ke atas kemudahan tentera di seluruh Ukraine selain tentera Rusia sudah mendarat di bandar pelabuhan selatan Odessa dan Mariupol.

“Putin telah melancarkan pencerobohan bersakala penuh ke atas Ukraine. Ukraine yang aman kini sedang diserang.

“Ukraine akan mempertahankan dirinya sendiri dan akan menang. Dunia mampu dan mesti hentikan Putin. Ini adalah masa untuk bertindak,” kata Kuleba menerusi ciapannya.

Terdahulu pada pagi Khamis, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengumumkan untuk menjalankan operasi ketenteraan ke seluruh Timur Ukraine sekaligus mengisytiharkqan perang ke atas negara berkenaan.

Menerusi pengumuman melalui siaran televisyen tempatan itu, Putin mendesak tentera Ukraine di Timur Ukraine untuk meletakkan senjata dan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata, dunia akan memastikan Rusia bertanggungjawab terhadap tindakannya itu dan dijangka akan memberikan ucapan kepada rakyat negara itu.–SB