PRN Johor:Dr. Shaharuddin, anak bekas MB antara calon Pejuang

0
283

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SETIAUSAHA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh antara 42 calon parti itu yang akan bertanding dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Ketua Pejuang Johor dan bekas Timbalan Menteri Kerja Rayaakan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Selain itu, anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian seperti yang diramalkan bertanding di DUN Kempas.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Nornekman Osman ditempatkan di DUN Kempas yang pernah ditandingi arwah bapanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Memang DUN di mana Allahyarham Osman berkhidmat dulu maka anaknya telah dipilih menjadi calon (Pejuang).

“Semoga tawaran calon kita ini untuk rakyat Johor diberikan petunjuk dan diberikan kemenangan oleh Allah,” katanya ketika mengumumkan senarai calon Pejuang bagi PRN Johor di Muar, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Osman yang juga Menteri Besar Johor ke-16 meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu pada usia 69 tahun selepas diserang strok.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU-14 lalu dengan majoriti 9,178 undi atas kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mukhriz menegaskan, komposisi calon yang diketengahkan parti itu adalah muka-muka baharu kerana kali pertama akan bertanding dalam PRN.

“Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kali pertama menyertai parti politik dan ada juga yang datang daripada parti lain sebelum Pejuang ditubuhkan,” ujarnya.

Menurutnya, ramai antara calon diketengahkan juga berkhidmat dalam sektor swasta, aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik yang sememangnya pengalaman itu amat diperlukan sekiranya Pejuang dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas diberi mandat.

Mukhriz menambah, empat daripada calon Pejuang adalah wanita berumur di bawah 50 tahun.

Katanya, kesempat-empat calon itu datang daripada pelbagai latar belakang politik dan kebanyakan pertama kali menyertai politik. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here