PRN Johor bermula Sabtu ini

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bermula Sabtu ini, lebih sebulan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Proses penamaan di 56 kerusi DUN akan bermula 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan.

PRN Johor yang merupakan pilihan raya negeri keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), setelah Sabah, Sarawak dan Melaka, dijangka menyaksikan minimum pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta gandingan Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), yang didaftarkan secara rasmi pada Disember tahun lepas.

Turut mengumumkan bertanding di PRN itu ialah Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang bakal  bertanding di 42 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) di empat kerusi dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di satu kerusi, serta Parti Warisan (Warisan) yang membuat penampilan sulung di Semenanjung Malaysia.

Berbeza dengan PRN sebelum ini, kempen PRN Johor dijangka lebih hangat dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan COVID-19.

Sepanjang tempoh 14 hari berkempen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penganjuran  ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah.

Bagaimanapun, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar. 

Mengenai SOP hari pengundian, pengundi wajib memakai pelitup muka berganda dan pengundi bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas diasingkan serta-merta daripada pengundi lain dan mengundi di tempat khas sama ada khemah, bilik atau ruang khas. 

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor pada 22 Januari lepas.

PRN itu tercetus selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lepas yang menyebabkan kerajaan negeri dipimpin BN tinggal 28 kerusi manakala PH dengan 27 kerusi. 

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

PRN itu juga bakal menyaksikan dinamik baharu dalam politik apabila lebih 700,000 pengundi muda layak mengundi susulan pendaftaran automatik Undi18.

Pada PRU14, PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor dengan DAP memperoleh 14 kerusi, Amanah (sembilan), PKR (lima) manakala Bersatu (lapan).

BN mendapat 19 kerusi sementara PAS hanya satu kerusi. – Bernama