Sajat dakwa sudah sah jadi wanita di Australia

0
424

USAHAWAN kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mengumumkan telah menukarkan jantinanya kepada wanita secara sah di Australia.

Muhammad Sajjad, 35, menyifatkan penukaran jantina itu seolah-seolah seperti dilahirkan semula dan gembira proses untuk menukar jantina di negara itu mudah untuk diselesaikan.

“Saya gembira sangat semua dah selesai. Saya tukar ‘gender’ saya. Saya rasa selesa menjadi wanita, saya hargai kerana negara ini faham keadaan saya dan saya rasa sangat bebas sekarang.

“Saya boleh jadi diri sendiri, saya bangga menjadi wanita. Terasa seperti dilahirkan semula, ini yang saya mahukan. Saya mahu orang terima saya,” katanya menerusi satu siaran langsung di Instagramnya.

Bagaimanapun, ketika ditanya oleh pengikut sama ada dia merancang untuk turut menukar namanya, Muhammad Sajjad memaklumkan dia akan mengekalkan nama ‘Nur Sajat’.

Terdahulu, Muhammad Sajjad bertindak untuk memulakan kehidupan baharu di Australia sejak Oktober tahun lalu setelah menyifatkan Malaysia tidak selamat untuk didiami olehnya.

Muhammad Sajjad sebelum itu turut menjadi buruan pihak berkuasa sehingga melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan imigresen negara itu pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.–SB