KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun ketika ini terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dan bilangan kemasukan ke wad hospital, strategi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta pemberian dos penggalak menunjukkan keberkesanan dalam memberi perlindungan daripada jangkitan yang lebih teruk.
Tambahnya, MPN juga mendengar pembentangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai situasi dan perkembangan terkini Covid-19.
“Majlis juga mengambil maklum pihak KKM dalam proses akhir untuk memuktamadkan SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.
“Pengumuman pembukaan sempadan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin berharap SOP itu akan lebih mudah dan longgar supaya ia tidak membawa kesan kepada pembukaan sempadan.
“Lagi cepat dibuka bagi saya adalah amat baik untuk pemulihan ekonomi negara,” ujarnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.