Aurel selamat melahirkan anak sulung, Krisdayanti kini bergelar nenek

PASANGAN selebriti paling popular Indonesia, Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah mengumumkan khabar gembira apabila selamat melahirkan anak sulung mereka hari ini.

Berita tentang kelahiran tersebut bukan sahaja disambut dengan penuh gembira oleh keluarga kedua-dua belah pihak tetapi juga menjadi sorotan media tempatan di sana.

“22.2.2022. Malaikat hidupku,” tulis Atta yang turut menggelar anak sulungnya itu sebagai Baby A.

Sejak semalam, peminat kedua-dua pasangan ini teruja apabila mereka kelihatan mendaftar masuk ke sebuah pusat perubatan untuk proses kelahiran.

Tumpuan juga turut diberikan kepada penyanyi Krisdayanti memandangkan dia secara rasmi sudah bergelar nenek.

“Alhamdulillah telah lahir cucu kesayangan kami, cahaya sempurna bagi keluarga berjenis kelamin perempuan.

“Selamat saya kepada suamiku; kedua-dua anakanda Atta dan Aurel; yang dihormati bapak dan ibu Halilintar; bapak dan ibu Hermansyah dan seluruh keluarga yang berbahagia,” tulisnya menerusi Instagram peribadi miliknya.

Terdahulu, bapa Atta dikecam apabila meminta Aurel agar menjalani proses kelahiran secara normal.

Kisah mereka sering mendapat liputan media tempatan memandangkan Atta merupakan antara YouTuber paling berpengaruh di Asia.

Mana kala, Aurel pula merupakan anak sulung perkahwinan antara Krisdayanti dan Anang Hermansyah.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 4 April 2021.