Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jarak semakin dekat perumahan, kuari Persiaran Kelicap diarah henti serta merta -

Jarak semakin dekat perumahan, kuari Persiaran Kelicap diarah henti serta merta


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang hari ini mengarahkan pemaju projek perumahan di Persiaran Kelicap, Bayan Lepas, di sini memberhentikan semua kerja-kerja kuari di tapak projek itu serta merta selepas didapati masih menjalankan aktiviti tersebut, walaupun sudah tidak dibenarkan.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pemaju perumahan dan operator kuari yang terletak dalam tapak yang sama itu, turut berdepan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah kerana  masih menjalankan aktiviti menguari, walaupun tempoh sah kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) JAS yang tamat 7 Dis lepas, tidak diperbaharui oleh JAS Pulau Pinang.

“Tapak itu pada asalnya telah mendapat kelulusan bagi pembangunan projek perumahan mengikut kontur pada 18 Ogos 1994, bagaimanapun ia tertangguh beberapa kali. Pemaju menerusi kontraktornya kemudian telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan pengkuarian dan telah diluluskan pada 3 Okt 2013, dengan mengambil kira jarak perumahan yang berada jauh pada masa itu.

“Tempoh pengkuarian dibenarkan adalah selama tiga tahun yang tamat pada 31 Okt 2016, namun pemaju memohon perlanjutan tempoh pengkuarian dan telah diluluskan sebanyak tiga kali iaitu pada 2016, 2018 serta terakhir tamat pada 7 Dis 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan perlanjutan kuari itu, tidak dapat dipertimbangkan lagi oleh JAS  ekoran zon penampan terkini tidak mencukupi sehingga mencetuskan puluhan aduan berterusan oleh penduduk setempat berkaitan isu gegaran, bunyi bising, habuk, runtuhan dan serpihan batu berterbangan.

Sharifah Zakiah berkata siasatan pihaknya mendapati aduan penduduk berasas dengan jarak terkini kuari ke kawasan perumahan terdekat adalah sekitar 70 meter dan JAS juga berpandangan bahawa pemaju telah diberi peluang mencukupi untuk melaksanakan projek yang dirancang.

Katanya malah selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan, JAS terus menerima aduan penduduk terdekat yang kuari masih beroperasi, manakala intipan jabatan itu menggunakan dron pada 14 Feb lepas mendapati, premis menjalankan aktiviti pemecahan batu menggunakan meriam air yang menghasilkan bunyi bising yang tinggi sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Tambah beliau pemaju dan kontraktor kuari kemudiannya telah dipanggil ke JAS Pulau Pinang dan dinasihatkan mematuhi arahan agar tidak menjalankan aktiviti kuari, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perumahan yang telah mendapat kelulusan EIA di tapak yang sama.

“Dalam pertemuan pada 18 Feb lepas, pemaju telah membuat perakuan untuk mengambil langkah mematuhi arahan tersebut, namun sehingga semalam aduan masih diterima dan siasatan kami mendapati premis tetap menjalankan aktiviti kuari,” katanya.

Sehubungan itu, Sharifah Zakiah berkata hari ini satu Notis Arahan secara serahan tangan telah dikemukakan oleh beliau kepada pemaju dengan mengarahkan supaya semua aktiviti dan subaktiviti pengkuarian dihentikan serta merta.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses penyediaan kertas siasatan bagi membawa pemaju serta kontraktor ke mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 34 A, Seksyen 31 dan Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Notis turut mengarahkan supaya pemaju mengemukakan laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi aktiviti perumahan mengikut kontur dalam tempoh enam bulan dari tarikh notis jika masih berminat untuk menjalankan aktiviti perumahan,” katanya.

— BERNAMA