MELIHATKAN situasi industri seni ketika ini, tidak dinafikan kebanyakan bakat-bakat baharu muncul hampir saban minggu. Ada yang datang dengan pakej yang baik dan tak kurang juga yang hadir dengan populariti semata-mata.
Bagi penyanyi Black Hanifah, 35, dia lebih gembira sekiranya industri hiburan tanah air mencari bakat baharu dalam kalangan mereka yang benar-benar layak.
“Tak dinafikan situasi hari ini berbeza dengan zaman dahulu tapi janganlah diletakkan sensasi dan populariti semata-mata untuk mencari penyanyi baharu.
“Ada orang sukakan gimik untuk melariskan lagu dan produk. Tapi gimik jenis apa? Jangan terlalu murah sampaikan menjatuhkan maruah sendiri,” kata Black berterus terang.
Black berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa industri muzik tanah air.
Ini termasuklah sebuah program hiburan yang meletakkan peserta yang disifatkan kurang layak hanya kerana mahu mengejar rating dan populariti.
“Kita faham, gimik memang baik untuk melariskan lagu, produk dan sebagainya. Tapi kalau boleh, janganlah merendahkan martabat kita sebagai anak seni.
“Nak buat apa sahaja kena fikir baik buruk. Yang menonton bukan sahaja kita sebagai orang tempatan tetapi juga diambil peduli orang orang luar. Kita patut malu dengan apa yang kita buat,” kata Black berterus terang.
Tambah penyanyi ini lagi, untuk mencari bakat baharu bukanlah satu perkara yang sukar memandangkan masih ramai orang di luar sana yang mencari tempat untuk menyinar.
Mereka yang benar-benar berbakat inilah yang harus dibantu untuk memberikan ruang dan platform bagi mengembangkan potensi diri agar dapat menaikkan mutu industri seni tanah air.
“Nak mencari penyanyi bukanlah satu kerja yang sukar. Kita ada banyak bakat baharu yang terdiri daripada buskers hebat yang ada tepi jalan dan sebagainya.
“Kalau betul nak mencari bakat dan konten yang baik, ambil sahaja mereka. Rasanya itu lebih baik dan akan mendapat reaksi positif daripada semua. Kalau nak cari konten, pilihlah yang bermaruah,” katanya yang baru sahaja melacarkan lagu baharu minggu lalu.
Bercerita mengenai lagu Hanya Aku Yang Mencari pula, penyanyi yang dicungkil bakat daripada program Mentor ini bersyukur dengan sambutan yang diterima.
Maklum balas yang diterima cukup positif memandangkan peminat yang sudah lama menunggu buah tangan terbarunya itu.
“Nak jadi penyanyi kena relevan dengan industri. Saya sendiri perlu mengikut trend dan terus menjaga kualiti untuk diterima baik oleh pendengar.
“Kali ini, saya gembira kerana masih dapat bekerjasama dengan Ajai untuk lagu ini. Dia tahu mana kekurangan dan kelebihan saya dan itu memudahkan lagi proses rakaman lagu ini,” kata Black lagi.
Lagu Hanya Aku Yang Mencari merupakan terbitan Inisatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records dan diedarkan oleh Indigital Music
Video muzik (MV) pula boleh ditonton melalui YouTube Nyawa Black TV bermula pukul 8.44 malam pada Jumaat.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.