Bapa sempat azankan bayi sebelum meninggal dalam kemalangan

0
232

BAYI lelaki yang “terkeluar” daripada kandungan ibunya dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan, pada pukul 7 malam semalam meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam tadi.

Bapanya, Mohd Khairi Hasbullah, 31, sempat mengazankan anak keempatnya itu sebelum bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia, lima jam selepas kemalangan

“Saya reda apabila anak kami turut pergi bersama ibunya,” katanya lapor Berita Harian.

Dalam kejadian itu isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah motosikal lain.

Remaja lelaki yang menunggang motosikal itu turut meninggal dunia di hospital.

Khairi hanya mampu menangis sebaik dipanggil doktor dan dimaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

Ketika ini, beliau hanya memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama isterinya dan dilaporkan parah di kepala serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Doakan supaya Nurul Iman selamat dan saya diberi kekuatan demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan nahas berkenaan kini mengorbankan tiga nyawa dengan kematian bayi itu.

Katanya, penunggang motosikal, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). “Remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here