ISU kain rentang seolah-olah ahli akar umbi Pas menolak untuk bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan lebih memilih Muafakat Nasional (MN) yang digantung di sekitar Johor, bukan tindakan yang dilakukan oleh akar umbi parti itu sendiri.
Ketua Pemuda PN Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz yang menafikan perkara itu berkata, ia tidak mewakili suara seluruh ahli akar umbi Pas Johor, sebaliknya tindakan berkenaan merupakan satu taktik kotor dan jahat daripada parti lawan untuk memecah belahkan Perikatan Nasional.
Bagaimanapun katanya, pihaknya enggan mendedahkan identiti dan parti individu yang terlibat di dalam kegiatan berkenaan selain memaklumkan pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
“Ini satu kerja buruk oleh pihak lawan. Ia satu lakonan, upahan dan sebagainya, bukan daripada suara ahli (akar umbi) Pas. Ini semua permainan politik. Kami sudah mengenal pasti mereka yang melakukan perkara itu dan daripada parti mana.

“Saya kira individu-individu itu orang parti lawan, tapi tiada sebarang jawatan penting di dalam parti. Mungkin mereka golongan ‘baling batu sorok tangan’ dan kami telah membuat laporan polis. Kami akan serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Menjawab persoalaan mengenai dakwaan berlaku perpecahan antara akar umbi Pas bersama kepimpinan parti itu, Nawfal menegaskan hubungan dan sokongan dalam kalangan ahli Pas untuk bersama-sama PN adalah sangat memberansangkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada mereka yang melakukan taktik politik kotor untuk sentiasa bertanding dengan adil dan bersih jika benar-benar ingin berjuang untuk rakyat.
“Masyarakat hari ini semua bijak, ditambah dengan pengundi-pengundi muda yang masing-masing membawa aspirasi untuk menolak politik-politik kotor dan jahat seperti ini.
“Kalau nak terus bermain dengan taktik kotor ini, kita tengok nasib mereka tak lama lah. Insya Allah kebenaran berada di pihak kami, dan orang-orang seperti ini sememangnya akan ditolak oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu, gambar-gambar kain rentang yang seolah-olah mewakili suara akar umbi Pas yang menolak kerjasama Pas bersama PN mula tersebar di media sosial sejak Sabtu dengan dakwaan ahli parti berkenaan sedang berpecah belah.
Kain-kain rentang berkenaan yang memaparkan tulisan seperti ‘Ahli Pas Batu Pahat Tolak PN’, ‘PN menyusahkan, MN membahagiakan’, ‘Ahli Pas di bawah mahukan MN bukannya PN’, dipercayai digantung di sekitar Johor.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.