Masalah ekonomi keluarga punca keganasan rumah tangga, penceraian – Rina

0
360

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KES keganasan rumah tangga dan penceraian yang berlaku kebelakangan ini kebanyakan berpunca daripada masalah ekonomi keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, antara yang menyumbang kepada masalah ekonomi keluarga apabila ada antaranya hilang pekerjaan akibat Covid-19.

“Dalam tempoh pandemik ini, ramai pihak kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan namun kehidupan tetap perlu diteruskan dan anak-anak tetap perlu diberi makan, bayaran rumah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa
merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.

Sehubungan itu katanya, bagi membantu keluarga, golongan wanita perlu memainkan peranan penting, bukan sekadar sebagai suri rumah tetapi membantu ekonomi keluarga.

Pengukuhan ekonomi dalam kalangan wanita katanya, bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sebaliknya turut mengukuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

Jelasnya, ini kerana masalah kewangan merupakan antara faktor utama yang menyebabkan keruntuhan sesebuah keluarga.

Beliau mahu membantu seramai mungkin wanita menjana pendapatan sama ada secara mencari pekerjaan ataupun menceburi bidang perniagaan.

“Bantuan diberi bukan sahaja melalui pelbagai platform disediakan kerajaan sebelum ini tetapi juga bantuan dan peluang bekerja atau berniaga,” katanya.

Sementara itu, Rina memberitahu, inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM telah membantu 5,135 wanita dengan 4,541 telah memulakan perniagaan kecil-kecilan selain 594 wanita ditawarkanpekerjaan dalam sektor formal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here