PENULARAN wabak Covid-19 menyebabkan 11 sekolah di Melaka diarah tutup, selama lima hari hingga tujuh hari berikutan peningkatan kes dalam kalangan pelajar serta guru.
EXCO Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin, berkata sehingga semalam, jumlah kes yang membabitkan pelajar dijangkiti adalah seramai 1,258 orang, namun setakat ini tiada kes kritikal yang dilaporkan dalam kalangan golongan terbabit.
Katanya, langkah penutupan itu adalah berpandukan saranan daripada pihak berkuasa kesihatan negeri dan arahan terbabit bergantung kepada keadaan serta tahap penularan Covid-19 di sekolah tertentu.
Sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.
“Sesi pembelajaran di sekolah berkenaan tetap diteruskan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) kerana ia penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar.
“Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi akan memantau dan memastikan keberkesanan pembelajaran golongan itu bagi mengelakkan keciciran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa memberikan perhatian penuh terhadap langkah pencegahan serta menitikberatkan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelajar, guru serta kakitangan sekolah di negeri itu.
Antara SOP yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan negeri (JPN), adalah melaksanakan langkah di bawah SOP 3.0 daripada Kementerian Pendidikan, memastikan saringan suhu dilakukan ketika masuk dan berada di sekolah, selain melakukan ujian saringan ujian pantas (RTK) secara bersasar terhadap pelajar, setiap hari.
“JPN Melaka juga mengarahkan pihak sekolah untuk sentiasa memantau penjarakan sosial pelajar dan melakukan kaedah penggiliran kehadiran pelajar bagi mengelakkan kesesakan di sekolah.
“Kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam aspek pencegahan dan khidmat nasihat kesihatan, malah perkhidmatan pihak bomba juga sentiasa diperlukan dalam membantu melakukan semburan nyah kuman bilik darjah atau sekolah,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.