
SEJAK awal kerajaan memutuskan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19, pelbagai tohmahan telah dilemparkan terutama kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Dakwaan demi dakwaan terutama daripada golongan antivaksin kononnya ada ‘tangan ghaib’ mempengaruhi keputusan supaya mengambil dos penggalak.
Peliknya, ada juga yang percaya dengan konspirasi ‘kosong’ sehinggakan penerimaan dos penggalak dalam kalangan masyarakat Melayu amat rendah.
Ini dibuktikan dalam ciapan Khairy di Twitter beberapa hari lalu yang memaklumkan golongan Melayu kurang daripada 50 peratus telah menerima dos penggalak.
Jumlah itu amat berbeza dengan kaum lain apabila 80 peratus masyarakat Cina telah pun mengambil dos penggalak.
Bukannya mahu menjadikannya sebagai isu perkauman, namun Khairy dalam sidang media hari ini berpandangan maklumat itu perlu diambil kira untuk melakukan intervensi berkesan.
Atas sebab itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan sesi penerangan, kesedaran dan menjawab satu persatu isu yang tular dalam kalangan masyarakat Melayu.
Khairy malah memaklumkan telah meminta pakar-pakar perubatan dan sains untuk tampil lebih kerap menjawab serta mematahkan semua hujah daripada kumpulan yang menentang vaksinasi.
Beliau turut mengakui tindakan kumpulan penentang vaksinasi yang agresif itu telah sedikit sebanyak menakutkan ramai pihak untuk mengambil vaksin.
“Seperti mana saya sebutkan, bukan kita nak melihat isu ini daripada sudut perkauman tetapi bila angka itu sangat ketara iaitu satu kaum penerima dos penggalak sangat tinggi manakala kaum lain sangat rendah.
“Apa yang kita tahu sekarang ini, memang keengganan terima vaksin penggalak dan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) dalam masyarakat Melayu agak tinggi.
“Bagaimanapun, ini merupakan satu cabaran yang besar tetapi kita akan cuba juga. Cabaran besar sebab Melayu percaya kepada iluminati,” seloroh Khairy dalam sidang akhbar tersebut.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, secara keseluruhan liputan dos penggalak tidak rendah tetapi KKM berusaha untuk terus tingkatkan sehingga melebihi 70 peratus.
“Liputan dos penggalak secara keseluruhan ketika ini adalah 58 peratus, tidak rendah kerana telah melebihi separuh populasi tetapi kalau boleh kita nak lebih 70 peratus.
“Kita dapati bahawa mereka yang belum mendapat dos penggalak, sebahagian kecil mungkin menunggu janji temu tetapi kita dah buat keputusan boleh walk-in di mana-mana sahaja pusat pemberian vaksin (PPV).
“Namun, kita melihat sejak seminggu dua ini sudah ada peningkatan, mungkin disebabkan kes harian yang agak tinggi,” jelas beliau. – SB