Saranan KKM: Bekerja dari rumah, elak mesyuarat fizikal – KJ

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) amat menyarankan kepada semua majikan supaya membenarkan bekerja dari rumah (BDR).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, begitu juga dengan mesyuarat atau perjumpaan secara fizikal yang mana disarankan untuk dielakkan buat masa ini.

Kata beliau, walaupun KKM yakin dapat mengharungi gelombang Omicron, namun usaha bersama perlu dilakukan bagi memperlahankan peningkatan kes.

“Walaupun yakin akan dapat mengharungi gelombang Omicron dan kesannya tidak seburuk gelombang Delta, namun demikian adalah cermat dan lebih baik jika dielakkan mesyuarat, perjumpaan atau apa-apa urusan pekerjaan secara fizikal.

“Ketika ini amat-amat disarankan bekerja dari rumah dan remote working. Ini saranan KKM kepada majikan. Walaupun kita yakin dapat harungi Omicron, tetapi kita kena berusaha memperlahankan peningkatan kes.

“Justeru saya mohon dan harap majikan di mana boleh galakkan WFH buat masa ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini. – SB