Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Samun barang kemas RM500,000 di stesen minyak - bukan kerja ’orang dalam’ -

Samun barang kemas RM500,000 di stesen minyak – bukan kerja ’orang dalam’

BEG berisi barangan kemas yang dilarikan lima lelaki bersenjata parang ketika kejadian samun di sebuah stesen minyak di Lukut, Negeri Sembilan semalam, dianggarkan bernilai mencecah RM500,000.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, beg itu adalah antara tiga beg berisi barangan kemas yang dilarikan penjenayah dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu.

Bagaimanapun katanya, dua lagi beg yang turut dilarikan dalam kejadian itu dijumpai semula, selepas kereta jenis Honda CRV yang digunakan penjenayah terbalik ketika dikejar mangsa.

Berdasarkan siasatan awal, katanya tiada unsur ‘orang dalam’ dikenal pasti, walaupun ada yang mengatakan seolah-olah kes samun itu dirancang berikutan kumpulan penjenayah seperti sudah tahu mangsa membawa barangan berharga.

“Polis percaya kumpulan suspek ini mengekori mangsa sejak awal sehingga berhenti di stesen minyak sebelum kejadian samun berlaku,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Aidi Sham berkata, usaha mengesan semua suspek giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. 

“Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang pemilik kedai emas berusia 50 tahun disamun lima lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Lukut, ketika mangsa berhenti untuk mengisi minyak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 kanun Keseksaan.