MESYUARAT Menteri Luar ASEAN yang bermula pada Khamis secara hibrid diadakan bagi membincangkan isu-isu seperti pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi menyeluruh dan hubungan dengan rakan kongsi dialog, lapor Xinhua.
Dipengerusikan oleh Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, pemukiman itu dihadiri oleh Menteri Luar Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Laos, dan secara sidang video oleh Menteri Luar Brunei, Thailand dan Vietnam, manakala Myanmar tidak menamakan wakil bukan politik untuk mewakilinya.
Menteri Luar Vietnam, Bui Thanh Son hadir secara dalam talian selepas disahkan positif Covid-19 sebaik tiba ke Kemboja pada petang Rabu, kata jurucakap Kementerian Luar Kemboja Chum Sounry pada Khamis.
“Menteri Luar Vietnam menghadiri mesyuarat secara maya dari biliknya. Kami menyediakan rawatan kesihatan dan perubatan yang sewajarnya untuk beliau,” katanya dalam mesej teks yang dihantar kepada media melalui telegram.
Ia merupakan mesyuarat Menteri Luar ASEAN pertama yang diadakan secara bersemuka selepas tertangguh selama setahun disebabkan pandemik Covid-19.
Menurut Kementerian Luar Kemboja, mesyuarat itu akan bertukar-tukar pandangan mengenai cara mengukuhkan lagi hubungan luar dengan rakan dialog sambil mengekal dan menggalakkan pemusatan, solidariti dan perpaduan ASEAN.
Menteri-menteri itu juga akan membincangkan cara dan kaedah secara kolektif untuk membina komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, dinamik, aman dan makmur, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan dan kebimbangan bersama juga akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.
Kenyataan itu turut menyebut Sokhonn akan memberi taklimat kepada rakan-rakan sejawatannya mengenai matlamat penting yang perlu dicapai semasa Kemboja menjadi pengerusi ASEAN dalam menyahut cabaran strategik yang dihadapi rantau ini, termasuk kawalan berkesan terhadap pandemik Covid-19 dan antaranya termasuk proses pemulihan menyeluruh, persaingan geo-politik dan isu tradisi dan bukan tradisi sedia ada. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.