Lelaki terbakar 80 peratus berjalan minta tolong dekat Kangar

SEORANG lelaki sempat keluar dari kenderaan dinaiki selepas terbakar dan berjalan meminta pertolongan dengan badan masih berapi dalam satu kejadian di Jalan Baru Kampung Syed Omar, Kangar malam Rabu.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Shahrunnizam Kamar Bashah, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada pukul 8.49 malam.

Katanya, lelaki berbangsa Cina itu melecur 80 peratus anggota badan selepas Perodua Axia yang dinaiki terbakar.

“Sepasukan 10 anggota bersama jentera dihantar ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.49 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian dan mangsa kemalangan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Hampir 90 peratus kereta telah terbakar dan mangsa diselamatkan dengan bantuan orang awam,” tambahnya dan berkata operasi tamat pada pukuk 9.20 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew dalam satu kenyataan berkata, polis menerima aduan awam daripada pekerja kilang papan berusia 38 tahun memaklumkan mengenai sebuah kereta terbakar bersama seorang mangsa di dalamnya.

Katanya, siasatan polis mendapati mangsa berusia 28 tahun menetap di Kangar.

“Menurut bapa mangsa, lelaki itu adalah seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pernah cuba membunuh diri pada Januari dan Selasa lalu selepas kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baru.

Malah katanya, dalam kejadian malam tadi, bapa mangsa turut memaklumkan polis bahawa anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki keretanya.

Beliau berkata, bapa mangsa yang berasa curiga membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya mangsa cuba membunuh diri sekali lagi.

“Apabila sampai di balai polis, pihak polis memaklumkan menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar di atas jambatan Kampung Syed Omar, Kangar.

“Bapa mangsa kemudian pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan kereta yang terbakar adalah milik mangsa,” katanya.

Mangsa masih dirawat di HTF dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas melecur 96 peratus pada badannya. – SB