SEBANYAK 77.5 peratus kes baharu COVID-19 bagi kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam ialah mereka yang belum menerima dos penggalak atau apa-apa vaksin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu pihaknya menyeru mereka yang belum mendapatkan dos penggalak supaya segera tampil berbuat demikian.
Katanya, ini supaya kes baharu dalam kategori 3, 4, dan 5 yang membimbangkan ini dapat dikurangkan seperti data pada 16 Februari 2022.
“Dos penggalak memang bukan jaminan untuk kita tidak dijangkit COVID-19.
“Tetapi berdasar data ini, dos penggalak ternyata membantu mencegah gejala serius COVID-19.
“Kita akan terus kemas kini pada hari-hari lain bagi memberi bukti bahawa dos penggalak sangat-sanggat diperlukan dan penting untuk mengurangkan gejala serius daripada COVID-19,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Khairy memaklumkan, peratusan pemberian dos penggalak di Malaysia adalah lebih baik jika dibandingkan dengan negara seperti Australia, Thailand, Jepun dan Indonesia.
Namun, katanya, jika dibandingkan dengan Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom (UK), kedudukan Malaysia masih terkebelakang.
“Untuk kita sampai tahap peratusan yang KKM rasa selesa, kita akan terus lipat gandakan usaha untuk orang ramai tampil dapatkan dos penggalak.
“Sekarang bukan masalah kapsiti atau masalah bekalan, tetapi masalah nak cari orang yang datang dapatkan dos penggalak. Semua PPV boleh walk-in untuk semua kategori usia.
“Kita kalau boleh mahu sampai 70 peratus populasi dewasa mengambil dos penggalak. Sekarang belum lagi sampai 60 peratus,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.