SEORANG pemilik kilang baja didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu kerana memberi rasuah kepada pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Hakim M Bakri Abd. Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Soon Teck, 53, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda.
M Bakri juga mengarahkan wang rasuah berjumlah RM30,150 dilucutkan hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Lee didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM30,150 kepada Muhammad Fithry Hassan yang ketika itu bertugas di ibu pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya sebagai balasan melepaskan tertuduh daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Soon Teck didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Batu 6, Jalan Baru dekat Parit Buntar pada 10.30 pagi, 8 Okt 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Kailashii Vasudevan Appu. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.