Gelaran ‘Premier’ bagi KM Sarawak adalah soal status – Wan Junaidi

CADANGAN untuk menukar jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada “Premier” adalah soal status dan gelaran baharu berkenaan tidak akan membawa pulangan kewangan kepada penyandangnya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, cadangan tersebut tidak bermaksud adanya sebarang peningkatan pembiayaan bagi ketua pentadbiran negeri itu.

Jelas beliau, gelaran “Premier” bukanlah asing memandangkan pemimpin kerajaan negeri di Australia turut menggunakan gelaran sama.

“Australia juga (negara) bersekutu sama seperti kita, dengan seluruh negaranya mempunyai kerajaan dan Parlimen persekutuan, serta kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya memetik laporan FMT.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dianggap tepat oleh kerajaan Sarawak, termasuk keputusan penukaran gelaran tersebut, tidak sepatutnya menjadi isu selagi perkara itu diluluskan di DUN.

Wan Junaidi berkata, satu-satunya isu kecil yang akan timbul adalah perkataan Melayu untuk gelaran baharu itu.

Kerajaan negeri mungkin perlu berunding dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam hal ini, tambahnya.

Beliau menegaskan, ini bukan sekadar perubahan kosmetik kerana ia melibatkan status rakyat Sarawak.

Penukaran gelaran itu akan dibuat dalam pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan di DUN hari ini. Rang undang-undang itu turut mencadangkan gelaran “Menteri Muda” ditukar kepada “Timbalan Menteri”.

Cadangan ini dibuat beberapa hari selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menetapkan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia pada 1963. – SB