Scammer guna whatsapp, bermaharajalela tipu mangsa

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, setiap minggu, setiap bulan pasti terdapat kes ‘scammer’ yang berjaya menipu mangsa melalui modus operandi yang berbeza.

Namun kali ini modus operandi mereka adalah menyamar sebagai mangsa dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada kenalan rapat mangsa untuk meminta bantuan atau pinjaman berbentuk wang.

Pengguna Facebook beri amaran kepada kawan-kawan mengenai modus operandi ‘scammer’

Berkongsi pengalaman kepada SatuBerita, mangsa, Nur Suhaila, 23, berkata, ‘scammer’ berkenaan menggunakan gambarnya di WhatsApp sebagai taktik memperdaya kenalan rapatnya.

“Pengalaman saya scammer tu pakai nombor lain, tapi gambar whatsapp gambar saya, dia menyamar jadi saya, minta duit bantuan macam nak pinjam duit dekat kawan-kawan saya, adik saya.

“Kejadian ini berlaku awal tahun ini, tapi saya tak pasti macam mana ‘scammer’ ini boleh tahu nombor kawan-kawan saya yang rapat,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, membuat langkah yang bijak dengan menyebarkan taktik ‘scammer’ berkenaan di WhatsApp Story sejurus rakannya memberitahu terdapat ‘scammer’ yang menggunakan gambarnya.

“Nasib baik kawan saya tidak percaya buta-buta, dia terus bagitahu saya selepas dia terima mesej dari scammer tu, saya terus sebarkan dekat Whatsapp Status jadi orang tahu mengenai situasi scam itu.

“Dekat kawan saya tu dia minta RM500, dekat adik saya dia minta RM200,” ujarnya.

Berbeza dengan seorang lagi mangsa, Adam Ilias, 25, berkata ‘scammer’ berkenaan menggunakan alasan memerlukan wang kecemasan disebabkan ibu saudaranya masuk ke hospital.

Namun, salah seorang daripada rakannya berjaya diperdaya oleh ‘scammer’ tersebut.

“Pengalaman saya bukan saya yang kena ‘scam’, kawan saya yang kena, jadi ia berlaku pada minggu lepas, tiba-tiba kawan saya minta saya bayar hutang sebanyak RM100. 

“Saya pelik sejak bila saya berhutang dengannya. Setelah di periksa, rupanya ada orang lain yang menyamar menjadi saya.

“Selepas beberapa hari, ada dua tiga orang rakan saya yang mesej saya, katanya saya minta pinjam duit atas dasar makcik saya masuk hospital, tapi sebenarnya makcik saya tiada yang masuk hospital,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun menurut Adam, laporan polis tidak dibuat kerana menganggap amaun yang ditipu adalah kecil.

“Tetapi pada pendapat saya kita harus buat laporan polis supaya masyarakat lebih waspada.

“Jika terdapat rakan-rakan yang memerlukan bantuan, kita minta suafoto dirinya atau membuat panggilan supaya kita dapat sahkan identitinya adalah rakan kita,” ujarnya.

Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran atau kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi saluran berikut:

Portal Aduan MCMC: https://aduan.skmm.gov.my

E-mel: [email protected]