PH tarik sokong kerajaan jika RUU Anti Lompat Parti tidak lulus

MASA depan penerusan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan dan sokongan PH terhadap Perdana Menteri bergantung kepada keputusan yang dibuat mengenai Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

PH, menurut pimpinan tertingginya, tidak teragak-agak menarik balik MoU bersama kerajaan itu sekiranya RUU berkenaan tidak diluluskan pada sesi Parlimen Mac depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya RUU itu dipersetujui untuk diluluskan pada sesi Parlimen itu, PH bersedia berunding untuk meneruskan MoU berkenaan.

“Untuk waktu ini, kita tidak boleh harapkan apa- apa selebihnya dari kerajaan Persekutuan. Benar ada MoU, yang menetapkan beberapa peruntukan tambahan RM45 bilion untuk selesaikan masalah Covid-19, RM10 bilion masalah kemiskinan dan undi18 yang ditetapkan.

“RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan sebelum akhir sesi Parlimen pada Mac, sekiranya tidak maka kita tolak. Kalau setuju, rundingan boleh diteruskan, kalau tidak, ia terbatal secara sendiri. Kita mesti sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa ia tidak mungkin dapat bertahan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sebuah hotel di Johor Bahru pada Isnin.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tersebut ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021.

Perjanjian itu antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

Menyentuh perkara sama, Naib Presiden Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri akan ditarik jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibawa dan diluluskan pada sesi Parlimen Mac depan.

“Saya merupakan anggota Jawatankuasa Penyelaras MoU PH dan kerajaan. Memang itu ada perkara asas yang merupakan aspek terbesar dalam MoU dan sekiranya pada sesi Parlimen Mac ini tidak dibawa dan diluluskan PH akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan tumbang disebabkan PH menarik sokongan terhadap MoU tersebut, Ahli Parlimen Pulai itu membayangkan kemungkinan itu berlaku jika kerajaan tidak membawa RUU Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen kelak. – SB