Maszlee calon PKR di DUN Layang-Layang

DARI Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dia datang, kepada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) akhirnya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Maszlee Malik berjuang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sah menjadi calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekaligus menguatkan lagi khabar angin beliau bakal dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihanraya tersebut.

Berita berkaitan: Maszlee calon MB Johor? Anwar kata PH belum bincang calon MB

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor (Bagi Zon Tengah) di Rengit, Johor.

“Saya yakin kemampuan beliau untuk terjemah aspirasi parti serta membawa suara dan kehendak rakyat keseluruhan,” kata Anwar menerusi ciapan di Twitter beliau.

Sebelum ini, Maszlee yang merupakan bekas Menteri Pendidikan pernah dilaporkan antara calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk majoriti di negeri itu. – SB