Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPM ulangi ketetapan tidak mahu sekolah menengah diguna pusat undi PRN Johor -

KPM ulangi ketetapan tidak mahu sekolah menengah diguna pusat undi PRN Johor

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah disusun atur, ‘diganggu gugat’.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini kerana pelajar yang menduduki peperiksaan itu adalah kohort SPM yang paling terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, katanya ia juga mengambil kira setiap meja dalam bilik peperiksaan telah disediakan dengan kod bar dan disusun mengikut indeks lengkap dan teratur, oleh itu, sebarang perubahan mengenainya akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan.

“Secara keseluruhan hampir semua bilik di sekolah digunakan untuk tujuan peperiksaan SPM dan pada hari Khamis sebelum hari pengundian nanti, ada peperiksaan Matematik dan ini akan melibatkan semua calon SPM di seluruh negara termasuk di Johor.

“Ini adalah satu peperiksaan yang besar dan pada hari Isnin akan ada peperiksaan Sains yang turut melibatkan ramai calon maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan dan diasingkan untuk tujuan pilihan raya kerana nanti proses atau tatacara yang kita gunakan dalam penyusunan ini, kita perlu teliti satu persatu kembali,” katanya. 

Radzi berkata demikian dalam video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, bagi menjelaskan mengenai mengapa sekolah menengah di Johor tidak sesuai digunakan sebagai tempat pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata pendirian itu juga diambil bagi memudahkan pihaknya menetapkan tempoh baharu peperiksaan kepada pelajar yang tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin.

“Untuk SPM kali ini seperti mana SPM tahun lepas, sekiranya pelajar tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin, mereka akan mendudukinya dalam tempoh ditetapkan kemudian. Sebab itu, penyusunan dalam bilik peperiksaan penuh teliti dan kita tidak mahu susunan ini diganggu gugat bagi memastikan kelancaran SPM,” katanya.

Bagaimanapun, Radzi berkata pihaknya tiada masalah jika sekolah rendah digunakan bagi tujuan pilihan raya berkenaan.

Semalam, Radzi memaklumkan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi dalam PRN Johor bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan itu yang bermula dari 2 hingga 29 Mac ini.

— BERNAMA