Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah -

Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah

DUA beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

“Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shariman berkata ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.

“Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut,” katanya.

Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

— BERNAMA