4 pasar raya dapat AP import, jual terus ayam sejuk beku

SEJUMLAH empat buah pasaraya telah diberikan Lesen Import (AP) khas bermula 8 Februari lalu bagi membolehkan bekalan ayam diperoleh terus daripada pemborong tanpa memerlukan orang tengah, termasuk ejen bekalan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi kebenaran kepada itu kepada pasar raya Mydin, NSK, Lulu dan Lotus di negara ini untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari beberapa negara serta menjualnya terus kepada pengguna.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, pemberian AP tersebut dijangka dapat menampung permintaan pengguna di negara ini sekali gus dapat menstabilkan harga.

“Kerajaan mengambil tindakan tepat dengan memberikan kelulusan kepada empat pasar raya untuk mengimport ayam bulat. Maknanya pasar raya berkenaan boleh dapatkan (mengimport) dan menjualnya secara terus.

“Bagi saya, kaedah itu dapat menurunkan harga kerana mereka tidak perlu (caj) melalui orang tengah atau ejen, sebaliknya jual dengan harga rendah terus kepada pengguna,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kerajaan sebelum ini membenarkan beberapa syarikat yang dilantik oleh MAFI untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ayam sebulan sehingga bulan ini bagi menangani kekurangan bekalan.

Bagaimanapun disebabkan beberapa masalah teknikal usaha itu tergendala dan harga ayam bulat di negara ini naik mendadak selepas beberapa pemborong mendakwa harga makanan ternakan itu meningkat beberapa kali ganda berbanding sebelumnya. – SB