MASALAH pelajar yang terpaksa memikul bebanan beg galas mereka yang berat ke sekolah secara rutin harian bukan lagi isu baharu dan memerlukan penelitian serta penyelesaian menyeluruh daripada pihak kerajaan.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, masalah itu berpunca daripada jumlah subjek yang banyak serta buku yang banyak bagi satu subjek.
Katanya, menerusi kajian secara perbandingan dengan negara-negara maju lain mendapati silibus pembelajaran mereka tidak memerlukan subjek yang banyak dan hanya memfokuskan pembelajaran 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Moral kepada pelajar tahap satu di sekolah rendah.
“Berdasarkan pemerhatian saya, apa yang dibawa oleh pelajar ke sekolah, kebanyakkannya membawa buku-buku sahaja. Memang ada juga yang membawa bekal makanan dan minuman, permainan yang kecil untuk bermain bersama kawan-kawan, dan juga mungkin pakaian sukan atau solat.
“Namun, barang-barang selain buku itu sepatutnya tidak menjadi isu, fokus di sini ialah subjek yang banyak, malah ada subjek yang memerlukan lebih daripada satu buku,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Menurut Anuar, subjek yang banyak pada jadual harian pelajar sudah tidak lagi relevan apabila pada masa ini kebanyakkannya negara telah mula mengamalkan aktiviti pembelajaran yang membenarkan pelajar untuk berintraksi dengan rakan-rakan sambil belajar di samping mengurangkan penggunaan buku teks.
Katanya, isu beg galas yang berat ini tidak boleh lagi dipandang remeh dan memerlukan jalan penyelesaian yang pantas daripada pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memberikan sesi pembelajaran yang lebih selesa kepada pelajar.
“KPM sepatutnya menyelesaikan isu ini secara menyeluruh, misalnya mengurangkan subjek dalam sehari, atau mengarahkan guru untuk menggunakan buku teks dalam beberapa hari dalam satu minggu.
“KPM juga boleh mengeluarkan peruntukkan untuk menyediakan tempat menyimpan buku teks seperti loker,rak dan sebagainya. KPM perlu memastikan penggunaan buku teks digital adalah disyaratkan. Perubahan perlu dilakukan di peringkat dasar di KPM bukan di peringkat sekolah,” ulasnya.
Katanya, KPM sebelum ini telah mengeluarkan pekeliling berhubung isu berkenaan sekitar September 2018, namun hanya memberi saranan kepada ibu bapa untuk lebih memantau dan membantu pelajar menyusun buku yang perlu dibawa ke sekolah.
“Isu beg sekolah berat ini bukan hanya isu pelajar, ibu bapa, guru atau sekolah. Kita faham ini adalah isu dasar. Melalui perbincangan saya dengan ramai ibu bapa, walaupun sudah menyusun buku anak-anak, mereka mengakui beg sekolah masih berat.
“Ini bukan lagi isu komitmen ibu bapa dan pelajar, ini adalah isu komitmen daripada kerajaan seperti KPM atau PPD. KPM perlu menjalankan penilitian segera dan membuat keputusan untuk mengurangkan beban beg sekolah. Penelitian itu perlu memberi penyelesaian bukan memberi saranan semata-mata,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Anuar berpandangan sesi pembelajaran pada masa ini sudah tidak lagi memerlukan buku teks yang memperuntukkan pelajar untuk membaca dan menghafal semata-mata, sebaliknya ia perlu bersesuaian dengan pendekatan PAK-21.
“Kita perlu tekankan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka dan mencari informasi baharu di internet. Menggunakan buku teks itu sendiri sudah menyekat inovasi dan kreativiti anak-anak kita.
“Kita perlukan kaedah pembelajaran pelbagai sumber di mana anak-anak kita terbuka dan bersedia untuk menjadi lebih kritikal dan belajar untuk mendapatkan meklumat yang baik di Internet bersesuaian dengan apa yang kita sebut sebagai PAK-21,” ulasnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.