Rakyat Johor tolak PKR, Anwar, dakwa Khairuddin

0
283

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak oleh rakyat sekali lagi.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yakin senario yang berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak akan berulang.

Beliau mendakwa, keputusan dua PRN tersebut membuktikan secara jelas bahawa Anwar sudah tidak relevan lagi dalam lanskap politik tanah air.

“Selagi Anwar Ibrahim berada dalam persada politik negara maka selagi itulah lanskap politik tanah air kita akan menjadi haru-biru dan caca-marba,” dakwanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada PRN Melaka, PKR gagal memenangi sebarang kerusi sekali gus menyaksikan prestasi terburuk parti tersebut di negeri berkenaan.

Lebih memalukan, tiga kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Kelebang dan Machap Jaya gagal dipertahankan.

Manakala pada PRN Sarawak, rakyat di negeri itu secara terang-terangan menolak PKR apabila parti itu gagal memenangi walau satu pun daripada 28 kerusi yang ditandingi.

PKR juga terlepas tiga kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Sarawak 2016 iaitu Bakelalan, Batu Lintang dan Krian.

Ramai pemerhati politik berpandangan kegagalan PKR itu berpunca daripada pengalaman buruk yang dialami rakyat semasa di bawah pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Semua parti komponen PH menerima tamparan yang amat hebat daripada rakyat Melaka dan Sarawak yang ingin mengajar pemimpin mereka yang bersikap angkuh dan sombong ketika berkuasa dahulu.

Selain itu, kesilapan percaturan politik turut dikatakan sebagai salah satu punca rakyat Melaka termasuk penyokong PH sendiri menolak PKR.

Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan PKR memberi laluan kepada bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron bertanding di DUN Asahan.

Pada masa ini, akar umbi PKR di Johor kecewa dengan keputusan sekutu-sekutu mereka dalam PH yang memberi laluan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding di kerusi-kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh calon-calon PKR.

Sebahagian daripada mereka secara terbuka mengecam keputusan tersebut serta meluahkan kekesalan dalam media sosial sekali gus membangkitkan spekulasi tentang igauan ngeri PKR di Melaka dan Sarawak akan berulang di Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here