HANYA kerana seorang gadis, seorang pelajar senior sanggup memukul kepala seorang pelajar lain dengan sebiji batu sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak.
Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan itu, seorang pelajar lelaki dilaporkn dipukul oleh pelajar senior sehingga retak tempurung kepala.
Laporan-laporan media menyebut, menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada 11.15 pagi Selasa lalu, di mana mangsa, seorang pelajar Tingkatan 4 sekolah itu didatangi lima pelajar tingkatan lima ketika berada di luar kelas.
Katanya, mangsa terus dipukul oleh mereka di bahagian badannya secara beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak.
“Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.
“Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya.
Choon Foo berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.
Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.
“Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya selain memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.