Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Betapa licik gerakan Kluster Mahkamah, akhirnya siapa untung? -

[VIDEO] Betapa licik gerakan Kluster Mahkamah, akhirnya siapa untung?

GERAKAN Kluster Mahkamah menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal 2021 bermula apabila bekas Perdana Menteri itu bertegas berpegang kepada asas dan prinsip perjuangan untuk tidak campur tangan dalam siasatan dan perbicaraan kes rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan kelompok terbabit bagi mengekalkan kuasa.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkenaan menjelaskan, sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun ia baik untuk rakyat yang mana gelagat mereka itu tidak ubah seperti pembangkang.

Penentangan tersebut, jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, rentetan ketegasan beliau untuk berpegang serta tidak mengkhianati sumpah juga amanah jawatan Perdana Menteri dan menolak tuntutan mereka walaupun tahu kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan kelompok tersebut.

“Saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO. Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?” jelas beliau dalam hantaran Facebook rasminya pada Jumaat.

Muhyiddin selanjutnya berkata, sejak daripada itu gerakan Kluster Mahkamah untuk menjatuhkan beliau bermula dengan UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional walaupun ia baik untuk rakyat.

Beliau memberikan contoh rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Julai 2021yang menggesa pimpinan parti berkenaan menarik sokongan kepada dirinya ketika kes-kes Covid-19 sedang meningkat.

“Kononnya apabila kes-kes Covid-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional.

“Mereka berharap apabila saya jatuh, mereka akan menguasai semula kerajaan. Dengan menguasai kerajaan mereka fikir masalah mereka boleh diselesaikan,” jelas beliau dengan lebih lanjut.

Pun begitu, kata Muhyiddin, perancangan mereka gagal kerana PN masih lagi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan sokongan PN kepada Perdana Menteri daripada UMNO adalah dengan syarat Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah.

Tambah beliau, bukan satu kepelikan jika Kluster Mahkamah ini masih tidak berpuas hati kerana mereka mahu menyingkirkan PN dan menjadikan kerajaan dipegang sepenuhnya oleh UMNO yang dikuasai oleh kluster tersebut.

Beliau selanjutnya menjelaskan, satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

“Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” kata beliau.

Menurut Muhyiddin, mereka memilih Johor kerana negeri itu dikatakan negeri kubu kuat UMNO dan jika parti itu menang, Kluster Mahkamah ini akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum (PRU) pula dapat diadakan.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti. Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah,” jelas beliau lagi.

Muhyiddin turut menimbulkan persoalan, berdasarkan apa yang telah berlaku siapakah sebenarnya pengkhianat? Dirinya atau mereka?

Kata Muhyiddin lagi, sebagai orang Johor, beliau percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana dan tidak akan membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

“Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

“Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” ujar Muhyiddin di penutup hantaran catatan beliau itu. – SB


Comments

Leave a Reply