Tidak wajib periksa suhu badan di premis KPM mulai esok

PEMERIKSAAN suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan, mulai esok.

Namun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera.

“Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah,” menurut kenyataan KPM hari ini.

Selain itu, murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

“Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya,” tambah kenyataan itu.

KPM turut menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pemansuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022. – SB