[VIDEO] Padang bola jadi gelanggang WWE

PERLAWANAN akhir dalam saingan merebut Piala Menteri Besar Terengganu di antara Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam tadi dicemari dengan aksi pergaduhan.

Insiden pada minit ke-45 itu sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin.

Pergaduhan seperti rancangan televisyen ‘WWE’ itu bermula selepas sepakan penalti skuad Harimau Kumbang yang diambil kapten pasukan, Endrik Dos Santos gagal disempurnakan pemain kelahiran Brazil itu.

Bagaimanapun, berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad yang tangkas mempertahan gawangnya daripada dibolosi.

Pergaduhan yang tercetus kemudian memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang. 

Susulan itu, seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra’op mengalami kecederaan.

Perlawanan yang terhenti ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil.

Berikutan itu, pasukan TFC II dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu edisi kedua selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan. – SB