PARTI MUDA sepatutnya menonjolkan kehebatan mereka dengan bertanding di kerusi yang ‘agak sukar menang’ berbanding hanya memilih untuk bertanding di kawasan mudah.
Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad, sikap itu juga selari dengan sifat yang ada pada nama parti itu.
“Orang muda sinonim dengan sifat berani, sukakan cabaran baru dan berasa yakin. Jadi, MUDA kenalah yakin bahawa mereka boleh beri cabaran sengit atau menang di kerusi yang telah saya sebutkan tadi.
“Tapi sayang, apa yang orang ramai nilai sekarang, MUDA tak ubah seperti budak manja, penakut dan tidak sukakan cabaran apabila sekadar mengharap bertanding di kerusi-kerusi yang mudah menang atau kerusi yang ada potensi menang saja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faezuddin berkata, orang ramai tidak akan dapat mengukur kekuatan sebenar yang ada pada MUDA kalau parti itu sekadar tanding di kerusi mudah menang atau kerusi pasti menang pada PRN Johor 12 Mac ini.
“Sangat relevan jika MUDA diberi peluang tonjolkan kehebatan mereka dan terjemahkan populariti mereka di kerusi-kerusi sebelah pantai timur yang agak sukar seperti Penawar, Tanjung Surat, Tenggaroh, Sedili atau Johor Lama. Ini sedikit contoh, banyak lagi kerusi yang susah.
“Waktu itu, barulah kita boleh lihat sejauh mana MUDA boleh bertahan dalam dunia politik. Barulah kita boleh ukur kekuatan jentera mereka. Barulah kita boleh nilai sama ada betul atau tidak orang Johor kenal MUDA,” katanya.
Beliau menambah, selama ini MUDA dilihat kuat di media sosial tetapi belum tentu popular di dunia nyata terutamanya di mata orang Johor.
“Belum apa-apa lagi kita dah bentang karpet merah untuk MUDA. Saya pun hairan, apa istimewanya MUDA sedangkan mereka belum teruji?
“Maaflah, saya berbeza sedikit pandangan dengan rakan komponen dalam hal ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.