MUDA mohon maaf buat, siar poster anti korupsi

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tampil memohon maaf susulan poster kontroversi anti korupsi yang dimuat naik dalam media sosial MUDA Kedah pada Rabu.

Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, hantaran itu tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

Menurut beliau, poster kontroversi itu juga telah menimbulkan salah faham kepada orang ramai serta tidak mematuhi sebarang prinsip yang jelas dalam MUDA.

Sehubungan itu, Luqman memaklumkan telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan MUDA Kedah daripada sebarang aktiviti berkaitan parti berkenaan.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden ini. Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan daripada pihak saya telah mengeruhkan hubungan baik antara MUDA dan rakan-rakan pembangkang lain.

“Maka, saya memohon maaf atas kejadian yang tidak diingini ini dan bersedia mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan MUDA dengan apa-apa keputusan dan tindakan disiplin daripada MUDA,” katanya dalam kenyataannya pada Khamis.

Poster kontroversi yang tular itu dikatakan dihasilkan Penerangan Muda Kedah yang menunjukkan karakter empat individu memakai baju dengan warna rasmi parti politik – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Perikatan Nasional (PN).

Berita berkaitan:

PKR pula tawar tiga kerusi kepada MUDA

PKR, MUDA – Siapa tunggu jawapan siapa?

Empat karakter itu dipotretkan bersebelahan antara satu sama lain, dengan masing-masing menghulurkan objek yang menggambarkan aktiviti rasuah kepada satu sama lain iaitu wang dan kontrak.

Turut tertera ialah ialah mesej yang berbunyi – ‘Hentikan korupsi, Undi dan ubah persepsi’.

Hantaran berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa pemimpin parti pembangkang lain termasuk PKR.

Tindakan tersebut dikatakan melanggar semangat dan prinsip antara parti-parti pembangkang lebih-lebih lagi MUDA baru sahaja ditawarkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). – SB