TERUJA menantikan kehadiran cahaya mata kelima yang bakal dilahirkan tidak lama lagu, penyanyi Datuk Jamal Abdillah mendedahkan yang dia sudah memilih nama untuk bayi lelaki yang bakal dilahirkan nanti.
Memilih untuk menggunakan nama Iskandar Rayyan Yamani, lelaki tersebut menganggap nama tersebut unik dan mempunyai maksud tersendiri.

“Masa mula berbincang dahulu saya dah isteri bercadang nak letak nama Iskandar Zulkarnain sahaja. Tapi kami rasakan nama tu sudah biasa didengar.
“Jadi kita pilih Iskandar Rayyan Yamani untuk bayi yang bakal dilahirkan nanti. Semoga dia lahir untuk menjadi orang yang berguna pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, isterinya Zai Izzati Khairudin, 27, yang sedang sarat mengandung dijangka melahirkan anak pada 28 Februari hadapan.
Namun mereka mahu memilih untuk melahirkan pada 22 Februari ini dan menganggap tarikh tersebut ‘cantik’.
“Kalau diikutkan memang Zai akan melahirkan anak kami pada 28 Februari. Tapi dia akan melahirkan secara pembedahan, saya harap anak kami boleh lahir 22 Februari.
“Angka tersebut ‘cantik’ tapi kita hanya mampu merancang, Allah juga yang menentukan. Kita tunggu sahajalah perkembangannya nanti,” tambahnya lagi.
Jamal berkata demikian ketika ditemui sempena sidang media Konsert A Night To Remember yang menggandingkan dirinya bersama Zamani di Manhattan Ballroom Berjaya Hotel, Kuala Lumpur, pada 26 Mac depan.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan gelaran Raja Pop ini mengakui sudah mempersiapkan diri untuk kembali berjaga malam untuk menjaga bayi.
Dia sudah mempersiapkan mental dan fizikal bagi membantu isterinya namun menganggap perkara tersebut adalah pengalaman yang perlu dihadapi kembali sementelah anak-anak yang lain sudah besar.
“Isteri saya pun bersusah payah menjaga anak-anak. Pembantu rumah kami pun tahun ini sahaja sudah empat orang berhenti kerja. Jadi, saya takkan hendak biarkan isteri sendirian menguruskan anak,” katanya lagi.
Untuk rekod, Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai pada 2017 dan dikurniakan Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober 2019.
Pada November 2020, pasangan itu memiliki anak kedua, El Issac Yamani.
Jamal juga mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu terdiri daripada Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.