PARTI Bersatu mempersoalkan tindakan UMNO yang didakwa lebih menumpukan naratif parti berkenaan sebagai ancaman, berbanding memperjuangkan isu rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan itu menimbulkan tanda tanya sedangkan isu terutama kegagalan Johor melahirkan tokoh korporat Melayu dan rakyat negeri yang bekerja di Singapura tidak diperjuangkan.
“Pelik, mengapa Johor gagal melahirkan tokoh korporat Melayu, tidak seperti negeri lain, malah digalakkan pula rakyat bekerja di tempat orang, seperti di Singapura daripada bekerja di negeri sendiri.
“Padahal kita patut ada ‘blueprint’ (rangka tindakan) mengenai bagaimana rakyat Johor tidak perlu lagi bekerja di seberang.
“Bagi UMNO, Bersatu adalah ancaman sebenar kepada mereka. Mereka yang menyalak ini memang ‘belaan UMNO’, disuruh memporak-perandakan.
“Ini tidak memberi kesan kerana rakyat di Johor sudah muak,” katanya lapor BH Online.
Beliau berkata demikian dalam bual bicara bersama Ketua Bahagian Bersatu Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin, malam tadi.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata Johor adalah ‘jantung kerajaan’ UMNO dan BN namun selepas kekalahan teruk parti itu pada PRU-14, keadaan berubah.
“Kesedaran rakyat Johor cukup tinggi dan paling penting kekalahan itu mereka dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku iaitu ketirisan dan salah guna kuasa.
“Mula timbul kesedaran rakyat untuk berubah. Johor bukan lagi hak milik mutlak UMNO dan BN,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.