[VIDEO] PRN Johor : Tarikh mengundi 12 Mac, penamaan calon 26 Feb – SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Johor, hari ini.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac 2022.

Abdul Ghani berkata, urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan), telah dibuka bermula 9 Februari 2022 sehingga 18 Februari 2022.

Manakala untuk kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli / Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) pula dibuka bermula 9 Februari 2022 sehingga 24 Februari 2022 .

Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dilaksanakan secara dalam talian (online).

Permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh dibuat melalui di pautan https://myspr.spr.gov.my dan pemohon dinasihatkan supaya memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu.

SPR menetapkan sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 56 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

PRN Johor diadakan selepas SPR menerima notis daripada Speaker Dewan Negeri Johor berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari 2022 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – SB