PERIKATAN Nasional (PN) Johor berharap prosedur operasi piawai (SOP) yang dimuktamad bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan bersifat ‘mesra kempen pilihan raya dan pengundi.’
Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya turut menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi menerusi pelaksanaan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran termasuk media sosial.
Beliau berkata, justeru itu gabungan parti komponen di bawah PN termasuk Pas dan Gerakan akan memperkasa gerak kerja jentera sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang dijadualkan pada 12 Mac.
“Bagaimanapun, kita berharap agar SOP yang dikenakan tidak terlalu ketat seperti saranan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana akan menyukarkan calon serta parti yang bertanding untuk berkempen,” menurutnya dalam kenyataannya pada Rabu.
Katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk jentera pilihan raya dan pengundi untuk mematuhi amalan norma baharu dan SOP yang ditetapkan bagi memastikan proses PRN Johor berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.
SPR hari ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sedang mengemas kini SOP bagi pelaksanaan pilihan raya sebagai pencegahan penularan Covid-19. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.