Kes baharu Covid-19 terus meningkat, 17,134 kes baharu hari ini

JANGKITAN baharu COVID-19 di Malaysia terus melonjak dengan 17,134 kes dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun seperti mana trend kebelakangan ini, lebih 99 peratus kes adalah dalam kategori 1 dan 2.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berdasarkan kes hari ini, sebanyak 86 atau 0.5 peratus kes baharu dalam kategor 3, 4 dan 5.

“Pada 9 Februari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 17,134 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,956,332 kes. Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my.

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekaligus selepas tengah malam,” katanya menerusi Facebook beliau pada Rabu.

Jumlah yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi sejak KKM mengisytiharkan negara kini dilanda gelombang Omicoron.

Berita berkaitan: http://bit.ly/MuhyiddinPositifCovid19
Berita berkaitan: http://bit.ly/Covid19Global400juta
Berita berkaitan: http://bit.ly/KesCovid19-8Feb

Situasi ini sama seperti negara lain di rantau ini yang turut menyaksikan peningkatan mendadak kes baharu dengan Korea mencatatkan kes harian melebihi 30,000 kes sehari.

Meski pun kes tinggi, statistik di Malaysia dan juga negara lain menunjukkan kesan teruk varian ini adalah lebih rendah berbanding ketika gelombang Delta yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam.

Berikut pecahan kes mengikut kategori yang dimaklumkan Noor Hisham.

Kategori 1 : 4,722 kes (27.56%)

Kategori 2 : 12,326 kes (71.94%)

Kategori 3 : 58 kes (0.34%)

Kategori 4 : 24 kes (0.14%)

Kategori 5 : 4 kes (0.02%)

Dalam satu hantaran berasingan, beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 8 Februari untuk seluruh negara adalah 1.39. – SB