Empat direman bantu siasatan kes rasuah projek selenggara cerun

DUA pegawai agensi kerajaan dan dua pemilik syarikat ditahan reman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan bagi projek penyelenggaraan cerun jalan raya bernilai RM300 juta.

Menurut sumber, empat individu berumur antara 39 dan 42 tahun itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

Menurut sumber tersebut, dua pegawai agensi kerajaan berkenaan disyaki telah meminta dan menerima suapan daripada dua pemilik syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun di jalan Persekutuan dan jalan negeri.

Seorang pegawai agensi kerajaan berkenaan kini bertugas di Negeri Sembilan manakala seorang lagi di ibu pejabat di Kuala Lumpur, kata sumber itu.

Perintah reman sehingga 14 Februari terhadap empat individu terbabit dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.- BERNAMA